Sunday 16 August 2009

Pengenalan Sekolah

Sekolah Kebangsaan Seri Tanjung, Tanjung Rambutan adalah sebuah sekolah yang terletak di perkampungan Orang Asli Kampung Tonggang.


Nama asal sekolah ini ialah Sekolah Kebangsaan Tonggang tetapi telah ditukar kepada Sekolah Kebangsaan Seri Tanjung pada 23 Mac 1999 kerana perkataan Tonggang tidak mempunyai sebarang makna dan pengertiannya serta tidak mempunyai hubung kait dengan norma-norma murni dari sudut sejarah atau pendidikan.


Sekolah ini telah dibuka pada bulan Januari tahun 1990. Pada awal pembukaannya, sekolah ini mempunyai 50 orang murid dan seorang guru. Sekolah ini diletakkan di bawah kelolaan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli dan kemudian pada bulan Januari 1996, pentadbiran sekolah ini telah diambil alih oleh Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Jabatan Pelajaran Negeri Perak.


Pada masa ini, sekolah ini mempunyai 13 orang kakitangan iaitu Guru Besar (En. Basharuddin b Khusairi), dan dibantu oleh 9 orang guru lain. Terdapat juga 3 kakitangan sokongan yang turut membantu melancarkan perjalanan sekolah ini. Murid-murid di sekolah ini pada masa ini adalah seramai 107 orang dari empat buah kampung yang berhampiran iaitu Kampung Tonggang, Kampung Makmur, Kampung Suluh dan Kampung Petai.


Kesemua murid di sekolah ini menerima bantuan penuh daripada JHEOA baik dari segi kewangan, pakaian dan lain-lain. Jabatan juga telah memberikan kerjasama yang erat dalam urusan yang melibatkan murid-murid.


Sekolah ini mempunyai 6 buah kelas dan mempunyai 3 bangunan asas manakala terdapat sebuah kantin yang digunakan untuk murid-murid menjalani proses pembelajaran dengan lebih selesa.



Sekolah Kebangsaan Seri Tanjung terletak di kawasan pedalaman di dalam Daerah Kinta. Jarak di antara Pejabat Pelajaran Daerah Kinta ialah 35 km iaitu mengambil masa 1 jam perjalanan. Pekan yang terdekat ialah Pekan Tanjung Rambutan. Jenis pengangkutan yang digunakan ialah motosikal dan kenderaan pacuan empat roda. Dari papan tanda untuk masuk ke sekolah adalah jalan balak manakala selepas 2.9 km adalah jalan tar yang dibuat mulai Oktober 2004.